Berita Harian Edisi Timur
Vandalisme di LPT ancam keselamatan
Kegiatan potong dawai pagar dilakukan pihak tak bertanggungjawab untuk
dapatkan wang segera
ANGKARA SIAPA: Dawai pagar yang dipotong
penceroboh bagi memasuki kawasan lebuh raya.
TEMERLOH: Kegiatan vandalisme di Lebuhaya Pantai Timur (LPT) merunsingkan
pihak pengurusan syarikat konsesi, MTD Prime Sdn Bhd (MTD Prime) kerana
perbuatan itu membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya itu.
Kegiatan memotong dawai pagar bagi tujuan melintas di kawasan lebuh
raya, mencuri besi penghadang jalan, tiang besi pagar serta pagar besi
untuk dijual sebagai besi buruk turut dikesan berlaku di LPT.
Lazimnya, mereka yang melakukan kegiatan itu semata-mata ingin mencari
jalan mudah melintasi kawasan lebuh raya atau mendapatkan wang segera
dengan menjual besi atau dawai curi.
Mereka yang melakukan kegiatan itu tidak mengambil kira keselamatan
pengguna lebuh raya, di samping kerugian yang terpaksa ditanggung pihak
pengurusan lebuh raya.
Difahamkan, hampir RM500,000 setahun digunakan pihak pengurusan lebuh
raya itu untuk memperbaiki kemudahan yang dirosakkan atau dicuri pihak
tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, pelbagai usaha dilakukan MTD Prime menangani masalah
vandalisme bertujuan menjaga kepentingan pengguna LPT sepanjang 169
kilometer dari Karak sehingga ke Kuantan.
Berdasarkan rekod dicatat MTD Prime, sejumlah 4,800 tiang pagar besi
di kawasan lebuh raya berkenaan menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab.
Keadaan ini menyebabkan pihak MTD Prime terpaksa menggantikan tiang
pagar besi kepada tiang pagar simen dengan perbelanjaan besar bagi mengelak
kehilangan.
Selain itu, setakat ini hampir 11 kilometer dawai pagar diganti baru
akibat dipotong pihak tidak bertanggungjawab atau dicuri, terutama di
kawasan yang berhampiran penempatan penduduk.
Kegiatan memotong dan mencuri pagar boleh menyebabkan binatang ternakan
seperti lembu, kerbau dan kambing atau binatang liar seperti babi hutan,
musang atau tenggiling memasuki kawasan lebuh raya.
Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku kemalangan, terutama pada waktu
malam atau hujan lebat sehingga mendatangkan kesusahan kepada pengguna
lebuh raya itu.
Pihak MTD Prime mengakui ada kemalangan maut membabitkan pengguna lebuh
raya yang cuba mengelak binatang ternakan yang berkeliaran di lebuh
raya.
Kejadian seperti itu amat dikesali kerana perbuatan segelintir mereka
yang tidak bertanggungjawab menyebabkan orang lain mendapat kesusahan,
malah kerugian besar.
MTD Prime mendapati sejumlah 50 peratus kegiatan kecurian dan vandalisme
dilakukan di kawasan Lebuhraya Temerloh ke Chenor, manakala 25 peratus
di lakukan di kawasan Karak ke Lanchang, bakinya di kawasan lain.
Bagi mengatasi masalah itu, MTD Prime menjalankan beberapa usaha, termasuk
mengadakan rondaan secara lebih kerap di kawasan yang sering menjadi
sasaran penceroboh.
Pengurus Konsesi Kumpulan MTD Prime, Rijaluddin Salleh berkata, tindakan
mengadakan rondaan keselamatan dan jenayah dilakukan pihak yang dilantik
syarikat.
Katanya, kumpulan ini akan bertindak serta merta memperbaiki kerosakan
di kawasan lebuh raya terutama membabitkan dawai pagar, kemudahan awam
serta prasarana lain.
"Pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya kegiatan vandalisme
yang dilakukan penceroboh mendatangkan kerugian serta membahayakan pengguna
lebuh raya.
"Selain itu, syarikat turut mengadakan ceramah serta khidmat nasihat
kepada penduduk di beberapa kampung berhampiran lebuh raya mengenai
keselamatan kawasan berkenaan.
"Ada antara kalangan masyarakat tidak memahami konsep penubuhan
lebuh raya oleh kerajaan dan beranggapan jalan itu menyamai jalan kampung.
"Setakat ini, ada penduduk yang sudah mula memahami pentingnya
menjaga prasarana yang disediakan pihak lebuh raya bagi kepentingan
orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membawa Berita Harian meninjau kawasan
LPT antara Tol Karak sehingga ke Tol Temerloh yang dikatakan sering
menjadi sasaran kegiatan vandalisme dan pencuri.
Rijaluddin berkata, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan pihak berkuasa
tempatan juga turut mengadakan operasi menangkap binatang ternakan yang
berkeliaran di kawasan lebuh raya.
Katanya, beliau bersyukur masalah pencerobohan dan binatang ternakan
terlepas di kawasan lebuh raya sudah mula diatasi dan pengguna tidak
perlu bimbang menggunakan jalan berkenaan.
Beliau berharap penduduk yang tinggal berhampiran LPT dapat bersama-sama
menangani masalah pencerobohan dan kegiatan vandalisme bagi menjaga
kepentingan awam.
Rijaluddin memberitahu usaha memperbaiki mutu perkhidmatan LPT akan
dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi menjaga kepentingan serta
keselesaan pengguna.
>top