Utusan Malaysia
Ambil tindakan tegas ceroboh lebuh raya
TEMERLOH 15 Okt. – Kerajaan negeri mahu pihak yang bertanggungjwab
mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menceroboh
kawasan lebuh raya sehingga menimbulkan ancaman ke atas keselamatan
pengguna khususnya menjelang musim perayaan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi
Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, pihak syarikat pengurusan
Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), MTD Prime, polis dan agensi terbabit
boleh memantau keadaan itu.
Sambil melahirkan rasa kesalnya dengan segelintir penduduk yang menceroboh
kawasan LPT bagi membuat ‘laluan tikus’ dengan memotong
dan mencuri dawai besi pagar tanpa mengambilkira keselamatan pengguna
lebuh raya.
Katanya, ‘laluan tikus’ itu juga boleh menyebabkan haiwan
ternakan seperti lembu dan kerbau bebas keluar masuk tanpa kawalan dan
ini membahayakan nyawa pengguna LPT terutamanya pada waktu malam.
“Menurut maklumat pengurusan syarikat MTD Prime, kejadian memotong
dan mencuri pagar berlaku di kawasan baru pada setiap hari oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab.
“Kelakuan buruk dan vandalisme tidak patut berlaku dalam masyarakat
negara ini yang bertamadun kerana pihak lain yang akan menanggung risiko
dan pelbagai masalah,” katanya.
Mohd Sharkar berkata demikian kepada pemberita pada majlis sumbangan
hari raya dan berbuka puasa anjuran MTD Prime kepada 60 anak yatim dan
warga emas Daerah Temerloh di kawasan rehat dan rawat (R & R) Temerloh
dekat sini, semalam.
Mereka yang menerima bantuan tersebut ialah daripada penghuni Rumah
Sejahtera Islam Kampung Loyang, Rumah Sejahtera Islam Desa Baru Purun,
Rumah Sejahtera Islam Kampung Bangau Tanjung, Pertubuhan Anak Yatim
& Kebajikan Darul Izzah dan Rumah Bakti KFC Semantan.
Turut hadir ialah Pengurus Urusan Syarikat Konsesi Kumpulan MTD Prime,
Rijaluddin Salleh.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan pemilik ternakan supaya mengawal
ternakan masing-masing agar tidak berkeliaran masuk ke kawasan lebuh
raya bagi mengelakkan risiko kemalangan.
Beliau turut meminta kerjasama ketua kampung, penghulu dan imam masjid
memaklumkan kepada penduduk kesalahan menceroboh lebuh raya.
“Saya berharap pihak konsesi MTD Prime sudah mempunyai perancangan
sendiri untuk meningkatkan tahap keselamatan dan pengawasan di laluan
Lebuh Raya Pantai Timur (LPT),” katanya.

SHARKAR Shamsuddin (dua kanan) menyerahkan pakaian baru kepada
beberapa Orang Anak-Anak Yatim Darul Izzah dan Ruman Bakti KFC Semantan
semasa majlis sumbangan hari raya dan berbuka puasa anjuran MTD
Prime di R&R Termerloh, kelmarin.
|
>top